Sebelas ditangkap ulangi ingkar PKP

KUCHING: Seramai 11 individu ditangkap bagi kali kedua kerana mengulangi perbuatan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar, mereka yang ditangkap adalah dari tujuh daerah negeri ini.

“Kita tidak tahu mengapa mereka mengulangi perbuatan mengingkari PKP.

“Mereka seharusnya sudah sedar,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Menjelas lanjut, Dev berkata tiga orang ditangkap di Sibu, dua orang di Sarikei, dua orang di Kuching, seorang di Limbang, seorang di Kota Samarahan, seorang di Padawan dan seorang di Meradong.

Sementara, Dev berkata seramai 80 orang telah ditangkap dalam tempoh jam 8 pagi semalam sehingga hari ini kerana ingkar PKP.

Katanya tangkapan tertinggi di Kuching seramai 36 orang, Miri (16 orang), Kota Samarahan (6 orang), Padawan (5 orang), Sarikei (4 orang), Betong (4 orang), Mukah (4 orang), Simunjan (3 orang), Limbang (seorang) dan Meradong (seorang).

Beliau menambah seramai 73 orang telah dituduh iaitu di Kuching seramai 36 orang, Miri (16 orang), Kota Samarahan (6 orang), Padawan (5 orang), Sarikei (4 orang), Betong (4 orang), Mukah (4 orang), Simunjan (3 orang),
Limbang (seorang) dan Meradong (seorang).

“Jumlah tangkapan keseluruhan sejak 18 Mac ialah seramai 1,493 orang dengan jumlah pertuduhan membabitkan seramai 932 orang,” katanya.

Suara Sarawak