Tiada kompromi ke atas nyawa pelajar

KUCHING: Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (Mapim) Sarawak menyokong tempoh masa dua minggu yang diberi KPM sebelum memulakan sesi persekolahan selepas PKP berakhir.

Naib Presidennya Omar Immun berkata, tempoh itu juga mencukupi bagi guru-guru dan pentadbiran sekolah menyediakan hal-hal yang sepatutnya sebelum membuka kembali sesi persekolahan.

“Dalam isu Covid-19, kita berperang dengan musuh yang tidak nampak.

Maka, wajar keputusan baik harus disokong demi kesejahteraan semua pihak.

“Pembukaan sekolah pula hanya melibatkan kelas peperiksaan seperti SPM dan STPM atau yang setara.

Ini jelas menggambarkan keputusan yang kerajaan buat juga mengambil kira nyawa pelajar,” katanya.

Jelasnya, semua sedia maklum bahawa apabila sesi persekolahan dibuka semula amat mustahil untuk menyuruh pelajar tidak berkumpul.

Namun kata Omar lagi, semua aspek keselamatan, kebersihan, dan pengawalan penularan jangkitan, termasuk amalan penjarakan sosial akan diberi keutamaan.

“Sekolah harus menekankan perkara ini.

Tidak ada kompromi ke atas aspek keselamatan dan nyawa pelajar.

“Ia harus dalam kawalan tadbir urus yang baik bagi memastikan tiada pelajar dijangkiti,” katanya.

Suara Sarawak