Tiada lagi kuarantin di rumah

KUCHING: Semua ketibaan dari darat, udara dan laut Sarawak perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin, kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Timbalan Ketua Menteri itu berkata, semua individu ditempatkan di pusat kuarantin ditetapkan bukan menjalani kuaratin sendiri di rumah.

“Perkara ini sejajar dasar persekutuan, mana-mana individu yang datang dari luar negara akan dikuarantin selama 14 hari. “Dengan cara ini, kita berharap akan dapat membendung penularan wabak Covid-19,” katanya semalam.

Justeru itu, beliau menggesa supaya rakyat Sarawak dapat memberikan kerjasama dengan memainkan peranan masing-masing. “Kita mempunyai banyak kawasan yang berwarna kuning dan hijau dan kawasan hijau biarlah terus kekal hijau,” jelasnya.

Beliau juga menggesa penduduk bandar dan luar bandar membuat perjanjian dengan rakan atau kenalan ketika mengumpul bantuan makanan bagi menge-lakkan perhimpunan besar tanpa menghiraukan jarak sosial.

Ketika menjawab soalan, katanya pada masa sama tiada laporan mengenai ubat yang tidak mencukupi di klinik atau pusat kesihatan.

“Kami mengarahkan Jabatan Kesihatan untuk menentukan bagi mereka yang dikuarantin mempunyai cukup ubat-ubatan seperti yang telah ditetapkan,” katanya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak