Zon hijau: Penduduk Sarikei diingat jangan leka

SARIKEI: Penduduk daerah ini digesa terus komited untuk mengekalkan status bahagian sebagai zon hijau sekaligus mengekang penularan wabak Covid 19.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan pandemik itu dapat dicegah sepenuhnya.

Setakat ini katanya, warga memberikan kerjasama baik dan berharap sikap positif itu berterusan sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bahagian Sarikei mempunyai empat daerah iaitu Sarikei, Meradong, Pakan dan Julau. Daerah Meradong, Julau dan Pakan memang di bawah kategori Hijau sejak awal lagi manakala daerah Sarikei pula dalam kategori Kuning kerana enam yang dijangkiti Covid- 19 sebelum ini adalah dari Daerah Sarikei.

“Hingga ke hari ini tidak ada penambahan jangkitan di Sarikei dan kerana itulah bahagian Sarikei letak ke dalam kategori Hijau.

Sudah pasti bagi seluruh penduduk bahagian ini, ia sesuatu perkembangan yang sangat mengembirakan.

“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua petugas di barisan hadapan yang terlibat menangani wabak Covid-19, ” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bencana Covid 19 Bahagian Sarikei mengingatkan penduduk agar jangan leka.

Sebaliknya ujarnya, mereka perlu sentiasa berwaspada dengan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib.

“Apa yang penting sekarang kita harus memastikan Sarikei kekal hijau. Saya tahu usaha ini bukan mudah namun boleh direalisasikan dengan kerjasama semua pihak.

“Pada masa yang sama, saya juga sentiasa mendoakan agar kita semua terhindar daripada wabak berbahaya ini dan keadaan kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pengagihan bantuan Fasa Satu dan Dua kawasan N.41 Kuala Rajang bagi zon Sarikei dan Tanjung Manis sudah selesai sepenuhnya.

Katanya, ia diagihkan mengikut senarai yang telah diberikan oleh Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan masing-masing menerusi Pejabat Residen dan Pejabat Daerah.

“Penghantaran kepada sejumlah 5,205 Ketua Isi Rumah (KIR) melebihi bilangan asal seramai iaitu 4,570 orang.

“Agihan bermula sejak minggu lalu dan berjaya dilaksanakan sepenuhnya oleh petugas Sukarelawan. Saya juga ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh masyarakat Islam khususnya di Kuala Rajang,” jelasnya.

Suara Sarawak