Buat laporan polis, cuba burukkan YB

MUKAH: Satu laporan polis dibuat oleh Pegawai Pusat Khidmat Parlimen Mukah, Almalhakim Norshidi, terhadap pemilik akaun Facebook Bakar J Burn, pada Rabu lalu.

Laporan tersebut dibuat susulan satu kenyataan yang di muat naik oleh pemilik akaun Facebook Bakar J Burn yang jelas ingin menjatuhkan reputasi seseorang.

“Dalam kenyataan Facebook itu mengatakan agihan bakul makanan untuk isi rumah bekalan PKP Covid-19 di kawasan Mukah di Dun Balingian, yang merupakan barangan keperluan harian hanya bernilai RM16.

“Ia meliputi mi segara dua bungkus, gula halus (500 gram), gula pasir (500 gram), minyak masak (500 gram), teh (20 uncang) dan beras (1.2 kilogram) untuk satu bilik pada 27 April yang lalu,” katanya.

Oleh kerana status tersebut ditularkan di Facebook, Almalhakim menerima beberapa pertanyaan daripada penduduk setempat tentang kesahihan perkara tersebut.

“Pada hari kejadian (27 April) kami mengagihkan sumbangan bakul makanan daripada Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib untuk golongan asnaf dan ketua isi rumah (KIR) kepada 15 rumah panjang di kawasan Ulu Bayan.

“Agihan tersebut dibuat melalui tuai rumah dan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan dan nama penerima tersebut adalah juga dari cadangan tuai rumah sendiri,” tambahnya.

Almalhakim bagaimanapun berkata, mereka mengagihkan bakul makanan yang mengandungi beras (lima kilogram), gula sebungkus, garam sebungkus (empat gram), roti sebungkus, minyak masak (dua kilogram) mi segera sebungkus, teh sebungkus dan kopi sebungkus.

“Pengagihan bakul tersebut tidak dikurangkan kuantiti atau nilai kandungannya oleh pihak Pusat Khidmat Mukah seperti mana kenyataan yang di tularkan di Facebooknya.

“Saya percaya apa yang ditularkan itu hanya untuk memperlekeh dan menjatuhkan reputasi Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib dan Adun Balingian Abdul Yakub Arbi seperti yang dipaparakan di laman Facebook itu.

“Atas perkara itu saya datang ke balai polis untuk membuat laporan,” ujarnya lagi.

Turut hadir sama dalam membuat laporan di IPD Mukah tersebut ialah Pegawai Khas Dun Balingain Che Ghazali Arbi, Pegawai Khas Dun Tellian Felix Pieng dan Ahli Parlimen Belia Malaysia Sarawak Muhd Tarmizi Karnain Abdah.

Suara Sarawak