KUCHING: Yayasan Yaw Teck Seng (YTS) Kumpulan Samling menyumbangkan empat mesin Tindak Balas Berantai Polimerase (PCR), seunit mesin pensterilan, seunit pengekstrak RNA dan dua unit alat bantuan pernafasan bagi menampung keperluan logistik kesihatan di negeri ini.

Bagaimanapun, dua daripada sumbangan itu masih dalam perjalanan dari luar negara dan dijangka tiba pada pertengahan Mei ini.

Selain peralatan kesihatan berkenaan, Samling juga menyumbang penutup hidung dan mulut, pengesan suhu dan pakaian perlindungan diri (PPE).

Mengulas mengenainya, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, peralatan kesihatan itu turut diagih kepada tiga hospital lain di negeri ini.

“Dua unit akan diberikan kepada HUS, seunit di Hospital Miri dan Hospital Bintulu seunit.

“Tetapi di Hospital Bintulu mesin PCR lebih kecil yang dipanggil mesin ujian pantas akan disediakan. Ia dapat melakukan ujian dalam kapasiti yang lebih kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan sumbangan itu di Dun Lama di sini, semalam.

Tambahnya lagi, setakat ini HUS memiliki tiga mesin PCR, Unimas (dua), Sibu dan Miri masing-masing mempunyai satu unit.

“Tiga unit mesin tersebut mampu melakukan saringan ujian kepada 1,000 orang,” ujarnya.

Turut hadir pada sesi penyerahan sumbangan ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Pengarah Yayasan Yaw Teck Seng Datuk Seri J C Fong, Penolong Pengurus Besar Kewangan Samling Timber Sdn Bhd Wilson Soh Eng Chai dan yang lain-lain.