KUCHING: Sotong yang ditumbuk sehingga lembut membuatkan pelanggan memesan setiap hari, demikian perkongsian peniaga sotong atau suntong tutok, Salina Leman kepada Suara Sarawak.

Salina dari Petra Jaya mula berniaga sotong tutok pada bulan Ramdan tahun lalu.

Jelasnya, dia berniaga sotong tutok pada bulan Ramadan sahaja untuk memperoleh pendapatan sampingan.

Produk yang dihasilkan oleh Salina mempunyai kelainannya tersendiri kerana sotong itu ditumbuk secara tradisional dan rasanya tidak sama seperti yang ditumbuk menggunakan mesin.

“Saya menumbuk sotong ini dengan penuh kasih sayang, dengan lembut dan rasanya tidak sama seperti menggunakan mesin.

“Sambal yang diolah adalah resipi turun-temurun daripada keluarga saya,” ujarnya.

Salina memberitahu, keuntungan menjual sotong tutok bergantung kepada pelanggan yang membeli. Jelasnya, dia mempromosikan jualan di laman Facebook dan mendapat maklum balas dari pelanggan.

“Mereka (pembeli) turut berkongsi dengan rakan -rakan mereka sehingga ada yang kerap membuat pesanan setiap hari.

“Dari tahun lepas sehingga tahun ini, belalak kata mereka dan sambal juga sedap.

“Setiap kali membeli mesti mereka minta sambal lebih,” katanya.

Salina turut berasa bersyukur kerana masih ada yang minat pada sambal sotong tutok resipi turun-temurun.

Ketika ini, Salina berniaga dari rumah sahaja kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini membataskan dirinya untuk berniaga di luar.

Untuk sotong bersaiz kecil, Salina menjual dengan harga RM1 manakala saiz sederhana pula dijual dengan harga RM3 dan saiz besar dijual dengan harga RM5.