KUCHING: Walaupun cabaran dalam dunia berniaga sentiasa ada pasang surut, ia tidak mematahkan semangat Muhammad Ismael Poli @ Mael Poli, 25, untuk mengusahakan Roti John Selimut.

Roti John Selimut ialah menu hasil inovasinya sejak 11 tahun lalu dan kini telah dikenali ramai.

Dari jauh ia boleh dikatakan seiras dengan rupa telur dadar namun setelah dirasai dan diamati secara dekat, ia sebenarnya merupakan Roti John yang diselaputi penuh dengan lapisan telur berwarna kuning keemasan.

Roti John Selimut ini cukup dikenali penduduk sekitar Kuching kerana ia diusahakannya sejak tujuh tahun lalu dan kini ia bertapak di Pak Amit Cafe Batu Kawah bersama-sama lima lagi pekerja.

Pada tempoh ini dia hanya beroperasi dari jam 12 tengah hari sehingga 6.30 petang berbanding sebelum PKP sehinga 12 tengah malam setiap hari.

Anak ketiga dari empat adik beradik ini memberitahu, inovasi yang dilakukannya terhadap Roti John tersebut merupakan hasil ideanya sendiri sejak berusia 14 tahun semasa bekerja bersama pak ciknya menjual Roti John.

Menurutnya, selepas sahaja tamat SPM dia menanam hasrat meneruskan sendiri perniagaan tersebut sehinggalah ke hari ini.

Mengulas mengenai juadah tersebut, Muhammad Ismael memberitahu, ideanya itu tiba-tiba terhasil apabila dia berhasrat mencipta kelainan Roti John untuknya sendiri.

“Roti John Selimut yang saya hasilkan ini berpotensi mendapat permintaan kerana belum ada yang menghasilkan juadah serupa.

“Saya tambah lagi kelainan dalam Roti John Selimut ini saya letakkan inti keju dan saya jual dengan harga RM5.50 satu. “Semestinya saya gunakan gred telur yang berkualiti tinggi iaitu telur gred AA sebagai selimutnya, ” katanya kepada Suara Sarawak.

Muhammad Ismael menjelaskan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak memberi kesan kepada perniagaanya selama dua minggu. Namun, setelah menggunakan kaedah pembayaran tunai semasa serahan (COD), dan membuka semula gerainya pada bulan Ramadan ini baharu dia memperoleh pendapatan.

“Roti John Selimut ini memang cukup dikenali di sekitar Batu Kawa dan sangat laku pada bulan Ramadan.

Dengan kuat kuasa PKPB, saya tetap tingkatkan jualan menggunakan promosi dalam talian seperti Facebook dan WhatsApp,” ujarnya.

Beliau menambah, Roti John Selimutnya memang mempunyai pelanggan tetap memandangkan juadah tersebut sentiasa mendapat permintaan berulang.

“Bagi bulan Ramadan sahaja kita gunakan lebih 150 biji roti hingga 250 biji roti sehari, dan jumlah pelanggan turut bertambah setiap hari,” ujarnya yang mengusahakan gerai burger Mael Burger & Roti John sebagai pendapatan utama.

Dalam tempoh seminggu sahaja Muhammad Ismael mampu mendapat pulangan secara kasar sekitar RM3,000 hingga RM4,000.

“Dengan hasil ini, saya gunakan sebahagian untuk modal bahan mentah dan membayar gaji pekerja.

Dalam pada itu, Muhammad Ismael menyifatkan bapanya ialah sebagai pendorong utama yang sentiasa memberi motivasi kepada dirinya untuk mengusahakan perniagaan tersebut.