KUCHING: Pusat beli-belah The Spring yang turut membuka semula perniagaan dari jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam Selasa lalu menekankan aspek keselamatan dan kesihatan kakitangan serta pelanggan.

Pengurus Besar Perkhidmatan Pengurusan The Spring Sdn Bhd Datin Christine Ling berkata, pihaknya memastikan amalan langkah pencegahan mengikut prosedur operasi tandard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi.

Menurutnya, pihaknya turut memastikan suhu badan semua individu yang melalui The Spring diperiksa, selain penyediaan cecair sanitasi tangan.

Datin Christine Ling

“Kami juga mengehadkan jumlah pintu masuk yang dibuka di pusat membeli-belah ini supaya mudah mengurus pelanggan dengan lebih baik.

“Oleh itu kami galakkan penjarakan sosial dengan mengehadkan jumlah individu yang masuk ke dalam lif, surau, tandas dan pelekat tanda turut dilekatkan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Ling berkata, alat khas sanitasi tangan turut disediakan di pintu masuk bagi memastikan sanitasi tangan dapat digunakan tanpa perlu menyentuh botol sanitasi setiap kali pelanggan memerlukannya.

“Alat ini dicipta oleh Jabatan Perkhidmatan Bangunan kami bagi memastikan pengguna dapat mengeluarkan cecair sanitasi tangan tanpa sentuhan tangan, sebaliknya pelanggan hanya perlu memijak pada bahagian bawah alat itu,” tambahnya. Jelasnya lagi, di bahagian FoodBazaar (tempat makan), pihaknya juga menetapkan jarak dua meter di antara meja.

“Kami juga meminta semua kakitangan dan peniaga memberikan maklumat kesihatan dan perjalanan mereka sebelum datang bekerja pada setiap hari.

Kami turut mengalakkan pelanggan mengisi borang deklarasi untuk tujuan pengesanan melalui kod QR yang disediakan,” katanya. Beliau berharap pelanggan bersabar terutama ketika menunggu di barisan panjang setiap kali membeli-belah kerana ia menjadi kebiasaan baharu pelanggan. “Kami berharap pelanggan dapat memahami situasi yang berlaku dan bertoleransi di antara satu dengan lain.

“Pelanggan dinasihati tidak pergi ke tempat sesak. Kami akan berusaha untuk memastikan pusat beli-belah The Spring sebagai tempat yang selamat untuk semua,” katanya lagi.

Ling berkata, ekoran operasi ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), The Spring mengakui untuk mendapatkan kembali keyakinan pelanggan untuk datang membeli-belah akan menjadi cabaran terbesar.