KUCHING: Perubahan dan pembaharuan polisi akan dirangka berdasarkan corak kes Covid-19. Ini berikutan satu kes positif Covid19 dilaporkan di Sibu melibatkan pelajar balik dari Temboro Karas Magetan, Jawa Timur Indonesia walaupun telah menjalani kuarantin 14 hari di Hotel dan kuarantin 14 hari di rumah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, Covid-19 merupakan penyakit yang baharu dan polisi baharu tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat.

“Apa yang saya baca, satu kes inkubasi mengambil masa 27 hari. Kita tidak dapat kuarantin semua orang yang pulang dari luar negara selama 27 hari.

“Ia memerlukan beribu-ribu bilik hotel dan untuk itu, kita tidak dapat menempatkan semua orang yang dipantau (PUS),” ujarnya ketika ditemui pihak media di Bangunan Dun Lama kelmarin.

Jelas Kui Hian, polisi tersebut akan sentiasa berubah-ubah dan diperbaharui sejajar perkembangan Covid-19 dari semasa ke semasa.

Tambahnya, keputusan tidak dapat dibuat berdasarkan pada satu kes sahaja dan perlu melihat pada corak kes.

Oleh itu, kata Kui Hian, semua pihak dinasihati memakai pelitup muka apabila berada di luar dan mematuhi penjarakan sosial.