TANJUNG MANIS: “Pucuk dicita ulam mendatang.” Itu respons penduduk Tanjung Manis mengenai cadangan untuk mewujudkan cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di kawasan itu.

Kaunselor Ibnee Ekni (gambar) berkata, BSN perlu mempertimbangkan cadangan itu kerana perkhidmatan mereka amat diperlukan oleh seluruh penduduk Tanjung Manis dan kawasan sekitarnya. Ketika ini katanya, mereka sukar melakukan urusan perbankan berikutan ketiadaan mesin transaksi automatik (ATM).

“Kami bergantung kepada ejen yang dilantik di beberapa kampung. Dalam keadaan lain, kami terpaksa pergi ke bandar berhampiran untuk mengeluarkan wang. “Keadaan ini pastinya membebankan penduduk yang sebahagian besarnya petani dan nelayan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Ibnee berkata, penduduk menarik nafas lega apabila isu itu mendapat perhatian khusus Adun Kuala Rajang. “Ia membuktikan kerajaan mendengar rintihan penduduk yang sukar untuk ke bandar berhampiran hanya untuk membeli barangan keperluan asas atau mengeluarkan wang dari mesin ATM.

“Sudah tiba masanya BSN mewujudkan cawangan di Tanjung Manis demi manfaat seluruh penduduk kawasan ini. Tambahan pula, kawasan ini semakin membangun dengan adanya pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan kepada penduduk setempat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, cadangan mewujudkan BSN di Tanjung Manis sudah dikemukakan kepada pihak berkaitan. Menurutnya, usul itu amat penting dalam urusan perbankan penduduk setempat tanpa perlu pergi ke bandar berhampiran.

Setakat ini katanya, cadangan tersebut sudah mendapat perhatian pihak berkenaan dan dijangka dapat dilaksanakan pada penghujung tahun ini. “Saya juga sudah mengemukakan usul kepada BSN agar mewujudkan cawangannya di Tanjung Manis.

“Kajian sepatutnya sudah dilakukan namun ia terpaksa ditangguh berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Saya sudah menghantar dua surat kepada BSN bagi tujuan itu.

“Sebagai langkah sementara, BSN sudah melantik tiga ejennya bagi memudahkan penduduk setempat mengeluarkan wang,” katanya.