MUKAH: Sempena Hari Guru yang disambut di seluruh Malaysia semalam, PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian tampil dengan inisiatif tersendiri dengan membuat lawatan mengejut ke rumah guru-guru untuk menyampaikan hadiah Hari Guru.

Oleh kerana ketiadaan sambutan Hari Guru pada tahun ini, PIBG sekolah berkenaan menyampaikan hadiah terus ke rumah guru di sekitar Mukah.

Yang Dipertua PIBG James Anthony berkata, inisiatif berkenaan dibuat sebagai penghargaan khas untuk guru SK Kampung Tellian.

“Dalam suasana PKPB ini, jasa guru SK Kampung Tellian tidak kami lupakan. Ia adalah salah satu cara kami meraikan mereka,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua guru di Malaysia khasnya di kawasan Mukah kerana terus komited menjalankan tugas sepanjang PKP dilaksanakan sehingga kini demi pendidikan generasi muda.

Manakala menurut salah seorang Ahli Jawatankuasa PIBG, Jessie Selahat tema Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu sangat bertepatan pada tahun ini.

“Tema ini diangkat untuk menghargai pengorbanan dan ketabahan guru dalam memperkasa ilmu pengetahuan bagi melahirkan generasi muda yang berkualiti, untuk masa depan negara,” ujarnya

Difahamkan SK Kampung Tellian Mukah kini mempunyai 20 guru, tiga kakitangan pelaksana dan 222 orang murid. Sehingga kini sekolah ini masih menumpang bangunan di SK Mukah hampir 16 tahun yang lalu.

Manakala bangunan baharu SK Kampung Tellian Mukah di Kampung Tellian Tengah Mukah siap sepenuhnya dan menunggu masa untuk beroperasi.

Ekoran pandemik Covid-19 dan PKP bangunan sekolah baharu tersebut belum lagi dibuka untuk digunakan sehingga arahan lanjut KPM.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimim Yahaya pihaknya memberi keutamaan kepada kelas-kelas yang melibatkan peperiksaan awam sahaja sekiranya sesi persekolahan kembali dibuka dan diumum dua minggu lebih awal.

dav