SARIKEI: Dua warga emas yang terlantar sakit terharu apabila menerima katil boleh laras percuma daripada ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Mereka ialah Yong Siong Tieh dan Kong Shiau Hiong yang masing-masing berusia 67 tahun.

Siong Tieh terlantar kerana masalah kesihatan yang dialaminya sejak beberapa tahun lalu. Untuk bergerak, beliau dibantu dan diurus sepenuhnya oleh anggota keluarga.

Masalah yang sama turut dialami Shiau Hiong di Jalan Rusa yang terlantar sakit sejak tiga tahun lalu.

Bagi kedua-dua penerima ini, tiada kata lain dapat diluahkan melainkan terima kasih.

Malah bagi keluarga, sumbangan itu amat besar nilainya kerana membantu meringankan beban mereka menguruskan orang tua.

Sumbangan katil itu diserahkan kepada kedua-dua penerima oleh petugas Pusat Khidmat N.45 Repok, semalam.

Pada masa yang sama, mereka turut membantu memasang peralatan berkenaan selain memberi tunjuk ajar tentang cara penggunaannya.

Dalam pada itu, ADUN Repok memang terkenal dengan sikapnya gemar menghulurkan bantuan kepada rakyat di kawasannya yang kurang berkemampuan.