KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan pengurangan pekerja dan pemotongan gaji akibat daripada pandemik COVID-19, yang telah menjejaskan rantaian bekalan di seluruh dunia yang menyebabkan kemerosotan atau penutupan perniagaan dan kehilangan mata pencarian.

Penyedia perkhidmatan penghantaran pos itu berkata ia akan terus melindungi mata pencarian lebih 15,000 petugas barisan hadapan dan sokongan operasi, memastikan kepentingan mereka diutamakan, walaupun hakikat perniagaannya — penghantaran surat, bungkusan antarabangsa, Pos Penerbangan, Pos Logistik dan lain-lain–turut terkena tempias daripada pandemik itu.

“Walaupun banyak sektor yang terjejas teruk di negara ini melakukan pemotongan gaji, pengurangan pekerja atau langkah-langkah drastik yang lain, Pos Malaysia  terus berusaha keras memastikan masa depan pekerja ini dilindungi,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pos Malaysia berkata ia kini sedang melaksanakan proses transformasi untuk memulihkan perniagaannya, dan apabila rancangan itu berjalan lancar dan keadaan bertambah baik, ia akan memastikan ganjaran yang lebih baik kepada pekerjanya.

“Pada masa yang sama, ketika perniagaan sedang menyesuaikan diri dengan normal baharu, kami akan terus melaksanakan tanggungjawab dan berkhidmat kepada negara sebagai penyedia perkhidmatan penting pada waktu yang mencabar ini,” katanya.

Pos Malaysia berkata ia berterima kasih atas usaha bersama petugasnya, yang bekerja tanpa lelah untuk memastikan penghantaran dan perkhidmatan dilakukan dengan lancar, terutama menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Kami berharap mendapat sokongan berterusan daripada orang ramai dan kami juga berharap mereka memahami cabaran sukar yang harus kita lalui dalam waktu yang sukar ini,” kata syarikat itu.

— BERNAMA