KUCHING: Permohonan untuk mendapatkan Kenyalang Gold Card (KGC) masih dibuka kepada warga emas di Sarawak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sehingga kini sebanyak 146,879 permohonan telah diterima dan proses pencetakan kad tersebut sedang dijalankan.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bulan lalu, ramai yang tertanya-tanya akan status terkini KGC.

Hari ini (semalam) kami masih menerima permohonan baharu dan ia berjalan seperti biasa.

“Ini merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk membantu warga emas berusia 60 tahun ke atas, dengan harapan mereka akan dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih sejahtera,” katanya di Wisma Kebajikan di sini, semalam.

Fatimah mengakui, sepanjang PKP dikuatkuasakan, usaha mencari lebih banyak rakan strategik untuk menyediakan perkhidmatan di bawah KGC tertangguh dan hanya 56 rakan strategik telah berdaftar.

Jelasnya lagi, rakan stategik itu termasuk syarikat perniagaan, badan perseorangan, agensi kerajaan dan sebagainya yang menawarkan pelbagai kemudahan diskepada warga emas melalui KGC.

“Antaranya untuk bidang kesihatan melibatkan farmasi (diskaun), perkhidmatan penjagaan warga emas (rebat) pesakit terlantar, aktviti perkhidmatan pemulihan, pembelian barangan runcit (diskaun), refleksologi, dandanan rambut dan taman tema serta rekreasi,” ujarnya.

Melalui KGC katanya, Bantuan Ihsan Kematian juga diberikan kepada waris pemegang KGC yang meninggal dunia dan ini merupakan usaha Kerajaan Sarawak membantu meringankan beban keluarga, dengan jumlah bantuan sebanyak RM3,000.

Dalam majlis tersebut, Fatimah turut menyampaikan Bantuan Ihsan Kematian kepada waris penerima kad KGC, Rohiman Sawio yang meninggal dunia akibat serangan jantung bulan lalu.

Waris iaitu anaknya Rizam Rohiman hadir menerima bantuan berjumlah RM3,000 Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dr Saadiah Abdul Sama;, Pemangku Pengarah Ketua Bahagian Kesejahteraan Sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat Mohamad Guntor Rajee dan Ketua Pegawai Eksekutif Socoe Sdn Bhd Jw Sam.