KUCHING: Guru SMK Kidurong di Bintulu berjaya mengusahakan kebun Projek Cili Fertigasi KidSS yang menjana pendapatan keseluruhan mencecah RM25,000 kepada koperasi sekolah berkenaan.

Pengurus Projek Narawi Mohamad, 46, berkata, kebun projek di bawah Koperasi SMK Kidurong Bhd itu dimulakan dua tahun lepas yang setakat ini berjaya mengeluarkan hasil mencecah 2.5 tan cili besar dan cili padi.

“Projek ini diusahakan di tanah hampir seluas satu ekar di halaman lapang sekolah. Pelajar dan bekas pelajar turut sama membantu terutama dalam kerja penuaian cili bersama-sama pekerja sambilan,” katanya. Narawi berkata, ketika ini projek terbabit mampu menghasilkan 100 kilogram cili untuk sekali tuai.

“Kami dapat menuai dua atau tiga kali seminggu, bergantung kepada bilangan pokok cili yang boleh dituai. “Saya menyasarkan musim tuaian kebun projek selepas ini akan dapat mencecah sehingga lima tan cili,” katanya.

Menurutnya, projek berkenaan yang bermula pada 2018 dimulakan dengan menanam 660 pokok cili, diikuti 2,400 pokok cili pada 2019 dan bertambah kepada 7,000 pokok pada tahun ini.

“Pokok cili ini ditanam secara fertigasi gantung dan fertigasi bawah dengan dua pokok cili ditanam dalam setiap beg plastik,” katanya dan menambah, projek itu turut mendapat nasihat daripada Jabatan Pertanian.

Setakat ini jelasnya, koperasi sekolah itu belum bercadang memperluaskan projek tersebut di dalam kawasan sekolah. “Sebaliknya kami bercadang memperluaskan projek ini sekiranya ada tapak tanah di luar kawasan sekolah,” tambahnya.

Baru-baru ini, Menteri Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) yang juga Adun Jepak Datuk Talib Zulpilip turut meninjau kebun cili Projek Cili Fertigasi KidSS di SMK Kidurong.