KUCHING: Serba Dinamik IT Solutions menyasarkan 30 peratus keuntungan kasar masih daripada aplikasi “Halal 2go” yang dilancarkan di Kuala Lumpur, semalam.

Pengarah Urusannya Datuk Dr Ir Mohd Karim Abdullah yakin pembangunan aplikasi terbabit bakal mengukuhkan kewangan Serba Dinamik bagi tahun 2020.

“Oleh itu, pada penghujung tahun ini, kami menyasarkan jualan RM50 juta di negara ini.

“Malah, aplikasi ini dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 menerusi gig ekonomi,” katanya.

Menurut Mohd Karim, pasaran makanan halal amat penting dalam melahirkan insan yang cerdik dan Serba Dinamik meletakkan teknologi maklumat (IT) sebagai dasarnya.

“Bilangan penduduk dunia adalah sekitar 7.7 bilion dan 1.8 bilion daripadanya beragama Islam serta memerlukan makanan halal.

“Sehubungan itu, matlamat kita adalah untuk menembusi pasaran halal dunia melalui aplikasi “Halal 2go” ini,” jelasnya.

Tegasnya, bermula dari Malaysia, “Halal 2go” akan dikembangkan ke Singapura, Indonesia, India, United Kingdom (London) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Aplikasi ini akan menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda dalam menyediakan perkhidmatan penghantaran yang sampai ke depan rumah susulan kebiasaan baharu pasca-Covid-19.

“Ia juga akan membantu melancarkan putaran ekonomi kepada para usahawan, pihak berkepentingan dan pelabur Serba Dinamik,” ujarnya lagi.

Beliau optimis aplikasi “Halal 2go” akan diterima baik oleh orang ramai.