KUCHING: Datuk Abdul  Karim Rahman Hamzah membidas Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen atas komennya terhadap GPS memberi sokongan terhadap Perikatan Nasional.

Menurut Chong dalam kenyataan terbaharunya, GPS melalui sokongannya terhadap  UMNO dan PAS telah memungkinkan rejim korup dan pelampau agama kembali berkuasa.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu berkata, Ahli Parlimen Stampin itu mempunyai ingatan singkat, sebab apabila DAP bersama-sama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat sebelum ini, Chong tidak pula melabelkan PAS sebagai pelampau agama.

“Mereka berkempen dalam pilihan raya bersama-sama, mengadakan mesyuarat bersama-sama, malah makan bersama-sama,” kata Abdul Karim dalam bidasannya yang sinis itu.

“Kini mereka tidak lagi bersahabat, parti dan pemimpin yang sama tiba-tiba berubah di mata Chong,” katanya.

“Betapa ironik dan artifisialnya Chong dan DAP,” katanya.

Beliau menjelaskan bekas pemimpin PAS seperti Mohamad Sabu, Khalid Abdul Samad dan yang lain-lain telah meninggalkan parti itu dan menubuhkan Amanah. 

Namun, mereka, katanya, dipandang tinggi oleh Chong dan DAP meskipun hakikatnya mereka  merupakan penyokong kuat PAS.

“Mereka hanya menukar parti dan Chong sudah mendakap mereka,” katanya.

PAS dan DAP pernah menjalinkan kerjasama melalui Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR).

Kerjasama awal mereka terbentuk melalui Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau Gerak bersama-sama Parti Keadilan, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Hubungan PAS dan DAP putus kerana DAP tidak bersetuju dengan pendirian PAS untuk terus memperjuangkan Negara Islam.

DAP tewas banyak kerusi Parlimen pada PRU 1999 sehingga hilang status Ketua Pembangkang dan menyerahkannya kepada PAS.