KUCHING: Ikan tapah bersaiz besar seberat 25 kilogram hingga 70 kilogram kini semakin banyak di Sungai Batang Oya, Mukah dan menjadi buruan penduduk kawasan itu yang gemar memancing.

Seorang pemancing dan penduduk George Collin Jenis, 21 dari Kampung Narub berkata, ikan itu mula kerap dipancing mereka dari sungai itu sejak 2016.

“Sejak itu saya dan saudara mara gemar memancing ikan ini di Batang Oya sebagai makanan.

“Pada setiap minggu memang akan ada yang berjaya menangkap ikan terbabit dengan saiz yang besar,” katanya.

Menurutnya, populasi ikan tapah bersaiz besar banyak di sungai ini kemungkinan kerana penduduk di sini sudah tidak lagi membenarkan ikan dan udang di dalam sungai terbabit ditangkap dengan cara yang tidak dibenarkan.

“Ini terutama menggunakan kaedah kejutan elektrik dan racun udang. Ketua kampung akan menghalau individu yang menggunakan cara terbabit malah melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya individu terbabit berdegil,” tegasnya.

George berkata, setakat ini ikan tapah seberat 70 kilogram berjaya dipancing.

“Penduduk kampung juga ada memberitahu terdapat seekor ikan tapah lebih besar belum berjaya dipancing.

“Ada yang berpendapat hampir sebesar perahu, namun ramai yang tidak berani memancing ikan itu untuk memecahkan rekod ikan terberat,” jelasnya.

Katanya, biasanya ikan tapah bersaiz besar di sungai itu boleh ditangkap dengan memancing di kawasan hulu sungai yang sunyi menggunakan umpan sama ada anak ikan keli, puyu, tilapia atau udang.

“Saya berharap kerajaan dapat membenarkan aktiviti memancing ikan untuk makanan sendiri ketika PKPB ini.

“Ini perlu kerana ada kampung di sungai terbabit jauh di pedalaman dan hanya boleh dimasuki menggunakan perahu atau bot.

“Ikan sungai menjadi sumber makanan yang penting bagi penduduknya,” tambahnya.