KUCHING: Perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini disambut dengan realiti baharu susulan penularan pandemic Covi-19 dengan kebersihan tahap tinggi diutamakan setiap hari.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud berkata, Hari Raya Aidilfitri kali ini diraikan dalam keadaan yang berbeza kerana Covid-19 bukan sahaja menular di Sarawak tetapi di seluruh dunia.

“Justeru, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh Malaysia sebagai usaha memutuska rantaian wabak maut itu.

“Oleh demikian, saya menasihatkan seluruh rakyat Sarawak untuk terus duduk di rumah dan mematuhi arahan serta langkah-langkah yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diraikan pada Ahad ini.

Tegas Tun Taib, orang ramai harus sentiasa menggunakan pelitup muka, sarung tangan dan mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter serta mengelak tempat yang sesak dengan pelbagai aktiviti.