KUCHING: Modus operandi menggunakan warganegara Indonesia sebagai keldai dadah untuk membawa dadah disyaki seberat 5.4 kilogram pada anggaran RM422,370.00 terbongkar di sempadan Sarawak-Kalimantan di Tebedu pada 18 Mei lalu.

Menurut Pegawai Memerintah Rejiman ke-4 Kor Armor Diraja Lt Kol Shamzaini Misran, pihaknya tidak berjaya menahan suspek setelah perangkap dipasang kerana suspek tidak muncul setelah pasukan tentera menunggu dalam tempoh beberapa jam.

“Keldai dadah tidak dapat ditangkap kerana mereka meletak dadah di satu tempat dan ada seorang lagi individu di sempadan akan mengambil barangan tersebut.

“Ini juga terjadi kepada 27 pendatang asing di Tebedu apabila penyeludup menggunakan penduduk tempatan warganegara Indonesia masuk ke kawasan Malaysia sebagai pembawa barangan,” katanya.

Shamzaini berkata, kebiasaan warga Indonesia ini akan membawa balik barangan runcit seperti makanan harian dari Malaysia ke Indonesia dengan upah RM15 hingga RM20 untuk setiap perjalanan ke negara jiran.

“Sebab itu, kita mengesyaki modus operandi yang sama digunakan untuk menyeludup dadah,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di sempadan SerikinJagoi Babang semalam.

Jelasnya, dadah itu ditemui ketika anggota menjalankan rondaan jarak dekat sejauh 200 meter di sekitar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu.

“Pasukan menemui beg berwarna hitam diletakkan di pangkal pokok dan ditutupi dengan daun kering. Beg itu kemudiannya didapati mengandungi lima ketulan bungkusan plastik yang dibalut dengan warna coklat.

“Setelah dibawa ke balai polis, ia didapati mengandungi serbuk kristal yang disyaki syabu,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu katanya, secara keseluruhan 13 jenis rampasan, tangkapan dan tahanan dengan nilai hampir RM900,000 sejak awal tahun termasuk kes dadah yang berlaku baru-baru ini.