KUCHING: Kebajikan dan kesihatan petugas keselamatan Tentera Darat Malaysia yang bertugas di sempadan Sarawak-Indonesia terus menjadi keutamaan dan hingga kini tiada sebarang masalah membabitkan kes Covid19 dicatatkan.

Panglima 1 Divisyen Infantri Mejar Jeneral Datuk Md Din Abu berkata, sejak awal operasi sehingga kini tiada anggota yang disahkan positif Covid-19 ketika menjalankan tugas.

“Setakat ini hanya seorang yang positif. Dia mendapat jangkitan dari luar kerana isterinya merupakan petugas kesihatan.

“Jadi kita berharap setiap anggota terus menjaga kesihatan diri terlebih dahulu supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih baik,” katanya kepada Suara Sarawak selepas Program Penyampaian Sumbangsih Raya dan persiapan Hari Raya Rejimen ke 4 Kor Armor Diraja di Kem JPG Serikin semalam.

Ujarnya lagi, setiap kali anggota pulang dari menjalankan tugas, mereka terlebih dahulu melakukan pembersihan diri.

“Setiap kali pulang dari bertugas setiap anggota diwajibkan untuk melakukan pemeriksaan diri dan perlu mandi dengan bersih terlebih dahulu,” katanya lagi.