KUCHING: Sepanjang 11 tahun menetap di Queensland, Australia, perkara utama menjadi pegangan Maradona Martin, 38, adalah bijak menyesuaikan diri dengan budaya setempat.

Seterusnya sentiasa patuh arahan kerajaan negara itu, terutama dalam tempoh pandemik Covid-19, jelasnya yang berasal dari Mukah.

Dia yang menetap di negara itu bersama-sama bapa angkatnya berkata, kini dia menjalani kehidupan seperti biasa dengan mengamal norma baharu dan mematuhi peraturan baharu.

“Kadar kematian akibat Covid19 lebih kurang dengan Malaysia.

Keadaan mula beransur reda.

Pada fasa pertama sekatan, tidak lebih 10 orang dibenarkan memasuki kedai.

“Hanya 100 pelanggan dibenarkan memasuki pasar raya besar dalam satu masa.

Jarak antara individu harus 1.5 meter, malah pergerakan ke negeri lain juga tidak dibenarkan.

“Kerajaan juga telah membenarkan pembukaan semula sekolah sejak dua minggu lalu, termasuk aktiviti sukan ragbi tanpa penonton,” katanya ketika ditemu bual melalui WhatsApp oleh Suara Sarawak, semalam.

Jelasnya, aktiviti bersenam, beriadah dan berkelah di pantai juga sudah dibenarkan tetapi tidak lebih 10 orang dalam satu sama.

“Kerajaan di sini juga menggalakkan penggunaan Covid Apps. Aplikasi ini dapat mengesan sesiapa yang berdekatan dengan kita yang pernah dijangkiti virus ini.

“Saya bersyukur kerana kerajaan di sini aktif menjalankan ujian swab kepada jutaan penduduk sebagai langkah pencegahan.

“Saman hanya dikeluarkan kepada yang ingkar dan tiada hukuman penjara dikenakan,” ujarnya lagi yang kini turut bekerja sebagai cef eksekutif sepenuh masa.

Maradona berkata, rakyat di Australia kini mula menerima penggunaan sanitasi tangan sebelum masuk ke premis bangunan, sementara pusat beli-belah terkemuka tidak membenarkan penyediaan kerusi rehat sebagai langkah keselamatan.

Jelasnya lagi, kematian akibat Covid-19 kebanyakannya melibatkan individu penghidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan warga emas.

“Perkara ini menyebabkan saya perlu sentiasa berjaga-jaga. “Paling penting patuh arahan kerajaan dan sentiasa memastikan keberadaan ahli keluarga pada setiap masa.

“Seterusnya rakyat di sini sentiasa disaran mendapatkan sokongan daripada organisasi berkaitan jika tertekan kerana hilang kerja dan perniagaan,” katanya.

Setelah lama di luar negara, Maradona merancang untuk kembali dan berkhidmat di Malaysia suatu hari kelak.

“Melalui pendidikan dan pengalaman 11 tahun di sini, saya harap kepakaran yang ada pada kami dapat dikongsikan di Malaysia pada masa akan datang,” katanya.