LANGKAWI: Berada jauh dari kampung halaman, tidak menghalang seorang guru wanita berasal dari Sarawak untuk meneruskan tradisi menyediakan kek lapis sebagai juadah untuk dihidangkan semasa Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.

Bukan sekadar untuk dinikmati oleh ahli keluarga, kek lapis Sarawak air tangan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Ulu Melaka, Rajemah Rose Awi, 49, turut menjadi pilihan rakan pendidik serta masyarakat sekitar pulau ini yang sudah lama mengetahui keenakan kek dari Bumi Kenyalang itu.

Rajemah, yang lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Rose, berkata dia sudah menyiapkan tempahan lebih 100 potong kek lapis Sarawak (saiz 2 inci x 8 inci) sejak minggu kedua Ramadan tahun ini.

“Saya hasilkan lebih lima jenis kek lapis untuk tahun ini, ada yang dihasilkan secara bakar dan ada yang dikukus. Paling mendapat tempahan ialah kek lapis masam manis, kek lumut, kek lapis lumut cheese dan kek belacan. Aidilfitri tahun ini, saya terima tempahan lebih 100 potong kek lapis yang dijual pada harga RM15 hingga RM25 setiap satu mengikut jenis.

“Semua kek dihasilkan menggunakan resipi asal yang saya pelajari sejak lebih 30 tahun lepas, malahan ada bahan asas seperti ‘gula hitam’ dibawa khas dari Sarawak,” katanya, yang berasal dari Kampung Sungai Apin, Simunjan, Sarawak.

Menetap di Langkawi hampir 20 tahun, Rajemah berkata tempahan kek lapis untuk Aidilfitri sentiasa ada malahan tahun ini permintaan semakin meningkat.

“Tahun lepas tempahan kurang hanya 50 potongan kek, namun tahun ini sambutan diterima berbeza permintaan juga semakin meningkat. Tempoh masa untuk menghasilkan kek lapis ambil masa lama, sekitar tiga ke empat jam setiap loyang, sebab itu saya dibantu anak, Nurul Atikah Radzi, 20, untuk menyiapkan tempahan yang diterima,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu kepada Bernama.

Rajemah turut berbangga dapat memperkenalkan budaya Sarawak yang menghidangkan pelbagai jenis dan pilihan kek lapis semasa sambutan Aidilfitri kepada masyarakat di sekitar Langkawi.

“Rasa seronok kerana dapat perkenal budaya Sarawak. Bukan sekadar terima tempahan untuk jual, saya sendiri pasti menghidangkan pelbagai pilihan kek lapis semasa sambutan Aidilfitri,” katanya.