SERIKIN, BAU: Bagi memastikan sempadan negeri ini terus terkawal daripada dibolosi penceroboh, Tentera Darat Malaysia (TDM) telah memasang CCTV dan dron di beberapa lorong tikus yang dianggar seluas 1,600 kilometer.

Panglima 1 Divisyen Infantri Mejar Jeneral Datuk Md Din Abu berkata, langkah ini bagi memastikan sempadan negeri ini terus dikawal ketat terutama kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negeri ini.

“Memasuki tempoh PKP dan PKPB kini, TDM terus melaksanakan tugas menghalang kemasukan Pati dari membolosi sempadan Sarawak dengan lebih tegas.

“Pada masa ini, TDM sedang menjalankan Op Awas-Keris Parang yang dimulakan pada April yang lalu.

Hasilnya, kami berjaya menahan 84 Pati manakala rampasan barang melibatkan jumlah lebih RM100,000,” katanya kepada Suara Sarawak di Kem JPG Serikin di sini semalam.

Panglima 1 Divisyen Infantri Mejar General Datuk Md Din Abu

 

Katanya, menjelang hari-hari terakhir Syawal, TDM lebih agresif melaksanakan operasi kerana kemungkinan lebih ramai pendatang yang berhasrat untuk pulang ke Indonesia.

“Anggota tentera diharap terus lebih berhati-hati, mungkin pada musim perayaan ini, ramai akan cuba balik ke negara asal melalui laluan tikus kerana Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) ditutup dan terhad kepada kes tertentu sahaja,” ujarnya.

Md Din berkata, pembahagian tugas juga telah dibuat dengan PGA terutama berkaitan operasi rondaan susulan hasrat Kerajaan Sarawak menghindar kemasukan dari negara jiran kerana dibimbangi membawa wabak Covid-19.

Terdahulu, Pegawai Memerintah Rejiman ke-4 Kor Armor Diraja Lt Kol Shamzaini Misran berkata, sebanyak enam jalan tikus kini ditutup sepenuhnya.

“Kami mula menjalankan operasi pada 8 April lalu dan dijangka tamat pada awal bulan Julai.

“Kami melaksanakan atur gerak memperkasakan benteng pertahanan sempadan di antara Kalimantan Barat dan Kuching “Sehingga 8 April, kami membuat tangkapan tangkapan di Pos Serikin melibatkan melibatkan seorang warganegara Indonesia yang mahu pulang ke negara asal menggunakan jalan tikus selain rampasan dadah yang cuba dibawa melalui jalan itu,” jelasnya.

Ujarnya, lagi kerjasama di antara TDM dan Tentera Nasional Indonesia telah dijalinkan dengan baik bagi mengekalkan hubungan dua hala yang harmoni.