RAMALLAH: Memprotes rancangan rampasan wilayah Tebing barat milik Palestin, Presiden Palestin Mahmoud Abbas nekad memutuskan untuk membatal semua perjanjian dengan Israel dan AS. Abbas berkata di Ramallah seperti dilaporkan AP pada Rabu bahawa,

“PLO dan bangsa Palestin tidak lagi terikat dengan perjanjian yang ditandatangani dengan Israel dan AS termasuk soal perjanjian keselamatan.”

Abbas juga membatalkan perjanjian dengan badan perisikan AS bertujuan memerangi terorisme. Sebaliknya, Abbas meminta Israel bertanggungjawab terhadap janjinya di hadapan masyarakat dunia sesuai Konvensyen Geneva 1949 sebagai pihak yang menjajah tanah Palestin.

Abbas sudah memberi amaran Februari lepas membatalkan seluruh perjanjian dengan AS dan Israel, selepas Presiden AS Donald Trump dan Rumah Putih melancarkan program “Kesepakatan Abad Ini” yang condong memihak Israel.

Trump bahkan menyokong Israel merampas 30 peratus wilayah Tebing Barat, termasuk pemukiman haram diduduki pendatang  Yahudi. Abbas bahkan mendesak AS bertanggungjawab penuh sebagai rakan Israel berkaitan pendudukan dan seluruh penindasan dialami penduduk Palestin.

Sebelum ini, Hamas, parti politik dan tentera turut mendesak Abbas memutuskan perjanjian dengan Israel dan AS. Israel menjajah Tebing Barat selepas Perang Enam Hari pada Jun 1967.

Situasi terbaharu ini mengancam perdamaian sementara Palestin dan Israel dan dikhuatiri membawa kembali pihak terbabit ke medan pertempuran yang mengeruhkan Timur Tengah.