KUCHING: Kes tangkapan penyeludupan syabu di Tebedu baru-baru ini membuktikan bahawa wujudnya jalan tikus yang menghubungkan aktiviti perniagaan di antara warga tempatan dengan warga Indonesia.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing berkata, isu itu perlu ditangani dengan segera oleh pihak berkuasa untuk mengelakkannya terus berulang.

“Dua minggu lalu, Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong dan pasukannya telah mengadakan lawatan dari Bahagian Kapit ke PGA di Long Singut, Baleh yang berhampiran dengan sempadan Indonesia.

“Menerusi lawatan itu, pasukan tersebut bertemu dengan kira-kira 10 warga Indonesia di hutan di sebelah Sarawak,” katanya setelah diminta mengulas kes penyeludupan syabu yang berlaku di Tebedu, baru-baru ini.

Menurutnya, kedatangan pendatang itu ke Sarawak dipercayai dari laluan yang sama sepanjang tempoh bertahun-tahun ini untuk tujuan tertentu.

Ia jelas terbukti susulan penemuan kes penyeludupan syabu yang merupakan satu petunjuk mengenai aktiviti niaga yang dijalankan di kawasan sempadan.

“Mereka ini juga mungkin terlibat dalam kes penyeludupan dadah dari Indonesia ke Malaysia dan ia juga merupakan faktor utama pedagang tempatan lebih memilih produk ubat-ubatan dari Indonesia untuk dijual di bandar dan penempatan luar bandar.

“Perkara ini telah mendorong usaha Kerajaan Negeri untuk menubuhkan pangkalan tetap bagi mengelakkan berlakunya pencerobohan kawasan pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Menurut Masing, kewujudan jalan tikus ini bukan sahaja dijadikan sebagai jalan penyeludupan barang makanan tetapi juga dadah.

Beliau menegaskan, pihak kerajaan perlu segera menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut untuk menjaga ketenteraman awam.