KOTA SAMARAHAN: Pepatah ‘tangan di atas lebih baik daripada di bawah’ menjadi pegangan pemilik peniagaan Nasi Lemak Jambatan Tamparuli, Mohd Ali Janneh, 30, untuk terus gigih berniaga sambil bersedekah, sejak empat tahun lalu.

Malah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat, dia serta orang awam mengambil insiatif memberikan nasi lemak percuma kepada orang ramai dengan nilai RM1,000 sehari.

Rabu lalu dia mengagihkan 450 bungkus nasi lemak (RM2,000) percuma dan RM2,500 nasi lemak percuma pada Khamis.

Dia memperuntukkan RM1,000 untuk memulakan insiatif itu pada hari pertama.

Pada hari kedua dan seterusnya, dia menerima sumbangan orang awam untuk turut serta dalam inisiatif itu.

“Bagi saya amalan memberi adalah lebih baik daripada menerima.

Apa-apa yang kita berikan itulah yang kita miliki, bukan apaapa yang kita jual.

“Malah semasa berniaga, saya akan lebihkan memberi daripada menerima.

“Jadi saya jual nasi lemak pada harga berpatutan, banyak dan murah dengan harga RM1 sebungkus,” katanya.

Menurutnya, nama Nasi Lemak Jambatan Tamparuli diambil sempena tempat kelahiran saya selain merujuk kepada orang ramai yang beratur panjang.

“Seolah-olah jambatan,” katanya ketika ditemui berniaga dan mengagihkan nasi lemak percuma kepada orang ramai yang beratur di rumahnya di Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan.

Lebih 100 ayam sehari

Dia yang mesra dengan panggilan Ustaz Ali berkata, dia dibantu enam hingga sembilan pekerja yang setiap hari memasak dan membungkus nasi lemak tersebut.

“Saya berharap amalan ini dapat dijadikan teladan kepada orang ramai,” tambahnya.

Jelasnya, nasi lemak tersebut merupakan resipi ibu mentuanya berasal dari Kedah yang diperturunkan kepada isterinya.

“Cara masak sambal bermula daripada ibu dan ayah mentua saya. Lebih khusus resipi ini diperturunkan kepada isteri saya dan dia (isteri saya) pula mengajar saya memasak nasi lemak ini,” katanya dan menambah, isterinya kini bekerja sebagai guru di Sarawak.

Mengagumi sikap toleransi dan harmoni penduduk Sarawak sejak lebih 10 tahun berada di negeri ini, dia berupaya memperoleh pendapatan kasar RM3,000 seminggu menerusi dua cawangan di Desa Ilmu dan Pasar Malam Metrocity, malah kebanyakan nasi lemak diberikan percuma kepada orang ramai.

“Untuk sehari lebih 100 ekor ayam diperlukan sepanjang Ramadan ini. Manakala sambal perlu dimasak lapan jam lebih awal.

“Biasanya lebih 100 kilogram beras digunakan. Paling penting lauk serta sambal menjadikan nasi ini diminati ramai,” katanya.

Ekoran permintaan menggalakkan, Mohd Ali turut merancang untuk membuka cawangan baharu di Sabah dan Semenanjung.

Bantu barisan hadapan Ekoran pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan PKP, dia turut memberikan nasi lemak percuma kepada petugas barisan kesihatan di hospital, pihak keselamatan iaitu polis, anggota tentera dan Rela yang banyak membantu mengekang penularan virus ini.

“Biasanya sebelum perniagaan dibuka, kami akan bungkus terlebih dahulu. Kemudian akan ada wakil polis, ATM, Rela, Pusat Jantung dan hospital akan mengambil nasi ini,” tambahnya.

Bekas pensyarah sambilan UiTM Kota Samarahan itu menganggarkan sebanyak 30 hingga 70 bungkus nasi akan diberikan kepada setiap agensi.

Setelah nasi lemaknya menjadi pilihan orang ramai dan beberapa menteri, dia berharap dapat menyediakan Nasi Lemak Jambatan Tamparuli khas untuk Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.