KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dua kontena yang mengandungi minuman keras di Sibu semalam.

Pengarah, JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, dua kontena itu mengandungi 26,409.60 liter minuman keras berjumlah RM274,042.20 dengan duti kastam sebanyak RM434,699.41.

“Penguatkuasaan, JKDM Sibu dibantu pegawai penguatkuasaan JKDM Sarikei bertindak atas maklumat orang awam telah mengekori serta memintas sebuah lori trailer yang membawa dua kontena berukuran 20 kaki apabila disyaki membawa barang belum lulus kastam ke arah Kuching.

“Trailer tersebut berjaya ditahan di kawasan di antara Sarikei dan Saratok,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Halimah, hasil pemeriksaan lanjut ke atas dua buah kontena tersebut, menjumpai kontena dipenuhi dengan dagangan minuman keras yang belum lulus kastam.

“Minuman keras tersebut diangkut menggunakan jalan darat dengan kuantiti yang banyak menggunakan kontena seperti barang biasa lain untuk mengelirukan pihak berkuasa.

“Ia dipercayai barangan seludup untuk bekalan pasaran musim perayaan Hari Gawai yang bakal tiba,” ujarnya.

Berikutan itu, katanya, tiga rakyat tempatan sebagai pemandu dan dua orang kelindan ditahan di bawah Akta Kastam 1967 untuk membantu siasatan.

“Barang kes disita di bawah Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967 dan dibawa ke pejabat Penguatkuasaan JKDM Sibu untuk tindakan selanjutnya.

“Turut ditahan ialah sebuah lori trailer dianggarkan bernilai RM150,000,” katanya.