MRP: Bukti kerajaan ambil berat keperluan rakyat

SARIKEI: Sebanyak tujuh rumah panjang, kampung dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di kawasan Meradong dan Sarikei di bawah N.43 Daro menerima sumbangan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP).

Majlis penyerahannya disempurnakan wakil Pusat Khidmat N.43 Daro di Pejabat Daerah Meradong Khamis lalu.

Ia sebahagian peruntukan MRP keseluruhannya berjumlah RM224, 000 yang turut diterima oleh JKKK, Jawatankuasa Masjid dan Surau serta pelbagai NGO di Daro baru-baru ini.

Sehubungan itu, ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad berharap penerima memanfaatkan sepenuhnya sumbangan untuk sesuatu yang bermanfaat.

Sehubungan itu, beliau menggesa, NGO agar terus lebih proaktif menganjurkan program dengan melibatkan penyertaan segenap lapisan masyarakat.

“Mereka perlu memperkasakan masyarakat dalam pelbagai aspek termasuk kebajikan, pendidikan, ekonomi dan sosial.

“Semoga geran ini dapat membantu penerima menjalankan aktiviti dan program termasuk majlis bersifat kebajikan bersesuaian dengan Ramadan, sambutan Aidilfitri dan Gawai Dayak,” katanya.

Beliau berkata, pemberian MRP seperti itu adalah bukti kesungguhan kerajaan khususnya kerajaan negeri dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Malah katanya, kerajaan sentiasa mengambil berat keperluan NGO untuk melaksanakan aktiviti supaya mampu memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Dalam perkembangan berkaitan, saya menggesa Ketua Masyarakat, Ketua Kaum (KMKK), JKKK dan pemimpin pertubuhan menasihati penduduk di kawasan masing-masing agar terus mematuhi PKPB dalam usaha membantu kerajaan mengekang penularan Covid 19,” katanya.