SERIKIN: Kerjasama berterusan daripada masyarakat amat diperlukan untuk membantu barisan hadapan memerangi penularan Covid-19 ketika musim perayaan.

Menurut PanglimaDivisyen Pertama Infantri Mejar Jeneral Md Din Abu, kerjasama masyarakat untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) amat penting.

“Kita hanya menjalankan tugas dengan memantau dan menjaga keselamatan sempadan negara.

Jika semua rakyat patuh, maka tugas kita akan lebih mudah dan senang.

“Oleh itu, saya minta kerjasama daripada semua rakyat untuk ikut setiap arahan yang dikuatkuasakan,” katanya kepada Suara Sarawak di JPG Serikin.

Beliau turut menasihatkan kepada semua warga Sarawak yang menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Jika tidak dibenarkan melalui mana-mana daerah atau negeri, janganlah ingkar.

“Jika dibenarkan melalui kebenaran polis, patuhilah SOP. Paling penting amalkan penjarakan sosial dan pastikan pemakaian pelitup muka ketika keluar rumah,” ujarnya.

Dengan status terkini Sarawak yang mencatatkan kes sifar untuk beberapa hari berturut-turut, beliau berharap tiada pertambahan kes akan berlaku selepas ini.

“Saya nasihatkan jangan menjejaskan kawasan zon hijau, yang dikategorikan selamat, sama-sama kita bertanggungjawab untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini,” tegasnya.

Walaupun anggota keselamatan tidak pulang menyambut Aidilfitri dan Gawai bersama-sama keluarga demi tugas, namun persiapan raya tetap diadakan.