KUCHING: Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Petronas melancarkan filem sesawang beranimasi penuh pertama berjudul Antara Dua Jendela dan ia kini boleh ditonton di YouTube dan Facebook rasmi Petronas.

Bagi versi komersial televisyen ia ditayangkan pada 20 Mei lalu hingga 14 Jun ini.

Filem web tersebut memberi fokus dan peringatan bahawa tiada orang yang bersendirian dalam menghadapi situasi terkini akibat pandemik Covid-19, di samping menyelami nilai-nilai kegembiraan yang sering terlepas daripada perhatian setiap pandangan harian manusia.

Mengekalkan tema perayaan, Petronas tahun ini iaitu Keluarga Unik Kami, filem web ini mengetengahkan hubungan sesama insan yang disantuni menerusi amalan kebaikan dan sikap saling membantu, yang merupakan aspek penting bagi setiap komuniti, terutama dalam menyesuaikan diri dengan cara hidup baharu.

Menurut Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas Zahariah (Liza) Abdul Rahman, aspirasi melalui Antara Dua Jendela bertujuan untuk membawa kebahagiaan kepada rakyat Malaysia ketika berdepan dengan situasi yang mencabar ketika ini.

“Filem web ini mengingatkan, kita sebenarnya tidak pernah bersendirian pada masa ini.

Semua pihak sedang mengharungi situasi yang sama. Adalah penting untuk kita melihat di sekeliling dan menghargai mereka yang paling dekat dengan kita.

“Kami berharap filem web ini dapat menjadi sumber motivasi untuk kita terus cekal dalam menempuhi segala cabaran serta mencari sinar kegembiraan dalam melayari kebiasaan baharu,” katanya.

Jelasnya lagi, setelah hampir 46 tahun, keunikan masyarakat majmuk di Malaysia sering kali menjadi sumber inspirasi filem sesawang perayaan Petronas.

Bagi Liza, solidariti yang menyatukan rakyat pada suasana yang sukar buat masa ini, adalah sifat keprihatinan dan keikhlasan dalam mengambil berat antara satu sama lain.

“Karya animasi penuh ini sebenarnya mengajak kita keluar daripada kepompong kebiasaan.

“Selain memberikan nafas baharu dalam teknik penceritaan, filem web animasi raya pada tahun ini juga mewujudkan peluang untuk pasukan kami berkolaborasi dengan bakat-bakat tempatan seperti pelukis, pelakon suara dan juga pemuzik.

“Hasilnya, kami berjaya menyajikan “Antara Dua Jendela” biarpun kami perlu bekerja secara berasingan.

Bagi kami, kebiasaan baharu ini bukanlah penghalang. Malah ia menjadi pemangkin bagi penghasilan filem web perayaan kami,” kata Liza.

Difahamkan filem sesawang Antara Dua Jendela ini berlatarbelakangkan kawasan desa, iaitu dua buah rumah kampung bernama Uda dan Dara yang digambarkan saling mencintai.

Tetapi pemiliknya, Pak Tam dan Mak Teh, masing-masing mempunyai sikap yang bertentangan dan langsung tidak boleh bertemu mata, sehingga keruh setiap Hari Raya Aidilfitri.

Namun, segala-galanya berubah pada tahun ini dengan ketiadaan amalan balik kampung beramai-ramai dan adat kunjungmengunjung sesama keluarga dan jiran tetangga akibat penularan Covid-19.

Situasi lebaran yang baharu ini telah mendorong Pak Tam dan Mak Teh untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama serta melupakan segala perbezaan antara mereka dan menyedari hikmah di sebalik cabaran pandemik.

Dengan ini, hubungan kasih sayang Uda dan Dara juga kembali bertaut,” tambahnya.