KUCHING: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terkilan dengan dakwaan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberitahu harga ayam di bawah pemerintahan PH lebih murah iaitu RM3 sekilogram berbanding sekarang RM7.50 sekilogram.

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, dakwaan itu tidak berasas dan mengelirukan orang ramai menyebabkan pegawai dan penguat kuasa dikritik dan menerima tohmahan negatif.

“Tuduhan itu tidak adil. Pegawai dan penguat kuasa KPDNHEP sanggup memperjudikan keselamatan demi menjalankan tugas dengan mengadakan operasi penguatkuasaan sepanjang pandemik Covid-19.

“Saya ingin ingatkan Anwar bahawa pemeriksaan rekod yang diwartakan sebelum ini mendapati sebenarnya harga maksimum ayam ketika itu ialah RM7.50 sekilogram.

“Ia sama seperti penetapan harga maksimum dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) ketika ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit menambah, penetapan harga barangan bukan bersifat politik sebaliknya menggunakan mekanisme tertentu yang ditetapkan.

“Dalam SHMMP kali ini, KPDNHEP membuat penambahan barang kawalan sebanyak 35 barangan berbanding 27 barangan pada 2019 ketika negara berada di bawah pentadbiran PH.

“Dakwaan sesetengah pihak bahawa harga barangan termasuk kenaikan harga ayam ketika ini sebenarnya bersifat tanggapan semata-mata.

Hakikatnya, harga ini ditentukan oleh teori asas ekonomi iaitu faktor permintaan dan bekalan.

“Keadaan ketika ini agak berbeza kerana selepas kelonggaran beroperasi diberikan melalui PKPB,” jelasnya.

Tambah Alexander, permintaan terhadap barangan juga meningkat ketika perayaan dan menyebabkan harganya kembali seperti sediakala.

Terdahulu, Anwar dalam satu paparan langsung di Facebook rasminya mendakwa KPDNHEP lambat bertindak dalam mengawal harga barangan menjelang musim perayaan pada tahun ini.