MIRI: 18 individu ditahan polis ketika leka berhibur di sebuah pusat hiburan di sini kerana ingkar syarat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.

Kesemua individu yang terdiri daripada 12 lelaki dan enam wanita berusia antara 23 sehingga 47 tahun itu ditahan dalam satu serbuan Op Noda di sebuah premis di Pusat Komersial Miri Waterfront di sini, kira-kira jam 12.05 pagi.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah berkata, mereka juga ditahan kerana perbuatan cuai yang mungkin menyebarkan jangkitan dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas selain tidak memiliki lesen hiburan, menyalahgunakan permit serta ada yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Pasukan polis yang mengadakan serbuan telah masuk ke dalam premis melalui pintu hadapan dan membuat pemeriksaan serta mendapati pelanggan sedang berhibur dalam bilik-bilik karaoke yang dibuka dan ada minuman keras di atas meja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pihak polis turut merampas televisyen, beberapa set karaoke, pembesar suara, mikrofon tanpa wajar dan amplifier.

Meng Seah memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati suspek terdiri daripada 11 lelaki tempatan, seorang lelaki warganegara Indonesia dan empat wanita warga tempatan serta dua wanita warganegara China.

Difahamkan, Mahkamah Majistret Miri hari ini memutuskan 15 suspek diperintah reman selama dua hari.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Perkara 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.6) 2020, Seksyen 269, Kanun Keseksaan, Seksyen 5(2) Ordinan Hiburan 2001, Perkara 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1956/1963.