KUALA LUMPUR:  Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama 30 jemaah sempena sambutan 1 Syawal di Surau Utama, Istana Negara, semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata ini merupakan julung kalinya Al-Sultan Abdullah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

“Secara lazimnya Seri Paduka Baginda menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, solat sunat Aidilfitri tersebut dipimpin oleh Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abdul Aziz Che Yacob dan jemaah terdiri daripada pegawai serta kakitangan Istana Negara.

Solat sunat itu diadakan mengikut garis panduan  PKPB yang dikeluarkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut Ahmad Fadil, selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, Al-Sultan Abdullah turut berkenan bersantap bersama para jemaah di Istana Negara.

Berikut pelaksanaan dan mematuhi PKPB sehingga 9 Jun ini, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta keluarga meraikan sambutan Aidilfitri di Istana Negara, bukan di Kuantan, Pahang seperti kelazimannya, katanya.– BERNAMA