KUCHING: Daerah Serian, Bintulu dan Tanjung Manis bertukar menjadi status kuning hari ini setelah terdapat kes baharu dilaporkan.

Menurut kenyataan media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), terdapat empat kes positif baharu Covid-19 di Sarawak direkodkan hari ini iaitu masing-masing satu kes di Daerah Kuching, Serian, Bintulu dan Tanjung Manis.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Sarawak secara kumulatif sebanyak 549 kes.

Manakala jumlah daerah yang berstatus kuning setakat ini ialah lima buah dan daerah yang berstatus hijau pula ialah 35 buah.

Sementara itu, sebanyak tiga kes telah sembuh dan discaj dari hospital iaitu dua kes daripada Hospital Umum Sarawak dan satu kes daripada Hospital Sibu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes postif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj ialah sebanyak 473 kes atau 86.16 peratus.

Sehubungan itu, seramai 132 kes individu dalam siasatan (PUI) baharu dilaporkan dan seramai 117 kes masih menunggu ujian makmal.

Pada hari ini juga, sebanyak 1,492 jumlah permohonan pergerakan antara daerah telah diterima oleh 28 buah Ibu Pejabat Daerah PDRM seluruh Sarawak menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 64,004 permohonan.

Daripada jumlah kumulatif tersebut, sebanyak 58,618 telah diluluskan manakala 5,386 ditolak.