SIBU: Tindakan seorang lelaki menanggalkan gelang tangan tempoh kuarantin dan melanggar perintah pengawasan mengundang padah apabila menimbulkan kemarahan orang ramai di laman sosial, hari ini.

Terdahulu, suspek, seorang pekerja bangunan memuat naik gambar di akaun Facebook miliknya yang memaklumkan bahawa dia telah keluar menikmati mi di sebuah kedai walaupun masih dalam tempoh kuarantin hari pada hari ketujuh.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil tindakan selanjutnya ke atas suspek.

Menurut beliau, suspek telah menyerah diri di Balai Sibu Jaya pada pagi tadi.

Untuk makluman, gelang tangan tersebut berfungsi melaporkan lokasi individu di bawah pemantauan (PUI) dan menggalakkan individu yang menerima notis duduk di rumah untuk terus mematuhi arahan kuarantin tidak kira di hospital ataupun rumah.

Malah, maklumat terperinci dapat dikongsi dengan menggunakan telefon pintar menerusi bacaan kod QR pada peranti yang diikat di pergelangan tangan itu.