KUCHING: Orang ramai boleh memainkan peranan mereka dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat individu yang memakai pergelangan tangan elektronik ingkar arahan kuarantin.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, dengan banyak mata yang memerhati, pelaku akan lebih berhati-hati.

Katanya, semua harus memainkan peranan penting dalam mencegah penularan Covid-19 semasa musim perayaan ini.

Beliau memberitahu, banyak laporan serta hantaran di sosial media diterima mengenai individu yang mempunyai pergelangan tangan tag elektronik ingkar arahan kuarantin dilihat keluar di khalayak ramai walaupun seharusnya berada di rumah.

Jelas Kelvin, kesalahan tersebut merupakan kesalahan yang boleh dipenjarakan dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pesalah boleh didenda tidak lebih dari RM1,000 atau dipenjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

“Selain itu, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) harus memantau dengan lebih rapat dan teliti mereka yang memakai pergelangan tangan itu.

“Kami dimaklumkan bahawa pergelangan tangan QR kod itu membolehkan tahap pengawasan digital tertentu,” ujarnya.

Kelvin berkata, SMA harus membuat pemeriksaan secara rawak untuk memastikan mereka patuh arahan kuarantin.

Tambahnya, apa yang penting pada masa ini adalah pemikiran sivil dan penerimaan tanggungjawab sosial untuk memainkan peranan membendung penularan penyakit.

Katanya, kuarantin bukan sekadar undang-undang tetapi ia adalah penting untuk mengawal kemungkinan kes import ke Sarawak.

“Termasuk saya sendiri, selepas pulang dari Parlimen di Kuala Lumpur, saya kuarantinkan diri sendiri walaupun saya dikecualikan dari arahan tersebut setelah disahkan negatif di Kuala Lumpur atas urusan rasmi.

“Walaubagaimanapun, saya percaya dimana seharusnya tiada dua jenis undang-undang untuk kita dan ia adalah tanggungjawab sosial saya untuk mengkuarantinkan diri untuk tidak menjejaskan kesihatan dan keselamatan orang sekeliling,” katanya lagi.

Menurutnya, penting bagi kita semua memahami peranan masing-masing. Barisan hadapan bekerja keras membantu mengawal dan merawat penyakit sejak awal lagi dan kita harus memainkan peranan untuk membendung penularan untuk mengelak gelombang kedua jangkitan.

Beliau memberi contoh negara yang menangani pandemik dengan baik, satu faktor penting ialah pematuhan dan disiplin orang ramai.

Oleh itu, katanya, kita harus belajar mengutamakan kesihatan, terutamanya untuk keluarga dan orang disekeliling kita.