PADAWAN: Seorang lelaki dan wanita dikenakan tindakan kompaun dan diarahkan berpatah balik kerana melanggar larangan merentas daerah.

Kedua-duanya ditahan dalam Operasi Khas Pemantuhan Antara Daerah Musim Perayaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di Batu 18, Jalan Kuching-Serian pada Jumaat lalu, yang diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong.

“Kedua-dua mereka tiada permit perjalanan rentas daerah dan tidak mempunyai alasan yang munasabah untuk keluar rumah,” kata Jaw Shyong dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata dalam operasi berkenaan, setiap kenderaan yang melalui sekatan jalan raya telah diperiksa secara terperinci.

Justeru, katanya ini menunjukkan hampir kesemua orang mematuhi peraturan larangan rentas daerah dengan mempunyai permit atau surat syarikat.

“Saya berharap semua masyarakat lebih bertanggungjawab agar dapat memutuskan penyebaran Covid-19 dan sayangilah diri sendiri, keluarga serta masyarat sekeliling,” katanya.