MIRI: Seorang penuntut institusi pengajian tinggi di sini ditemui mati di sebuah bangunan kondominium di Tanjung Lobang, awal pagi tadi.

Mangsa, 19, seorang lelaki warga Mesir dipercayai terjatuh dari unit kondominium di tingkat 15, kira-kira jam 2 pagi.

Menurut sumber, mangsa bersama sekumpulan rakan-rakannya telah menyewa sebuah unit kondominium untuk satu malam.

Difahamkan, mereka menyewa unit kondominium itu untuk meraikan sambutan hari perayaan.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Meng Seah mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi hari ini.

Ujarnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.