KABONG: Tiada kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa solat sunat Aidilfitri pada pagi 1 Syawal di Daerah Saratok dan Kabong.

Ketua Polis Daerah Saratok,DSP Mordani Tanin ketika dihubungi berkata pihak polis telah melakukan pemantauan pada pagi 1 Syawal di masjid dan mendapati penduduk akur dengan ketetapan SOP PKPB bagi sambutan Hari Raya pada tahun ini.

Katanya pihak polis berpuas hati dan berterima kasih kepada penduduk yang memberikan kerjasama pada tahap terbaik.

Sepatutnya laporan ini dikeluarkan semalam sempena 1 Syawal.

Namun suasana muram Aidilfitri dalam tempoh PKPB menyebabkan laporan ini tertunda sehari bagi memberi ruang sekiranya ada suapan ataupun titipan bahan lain daripada ‘rakan-rakan maya’ yang biasanya begitu aktif me’whatsapps’kan laporan dan gambar-gambar situasi pagi Aidilfitiri di stesen masing-masing.

Namun penantian nampaknya hanya menyaksikan sogokan suasana gambar keluarga dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri, Stay At Home’ yang singgah di kotak masuk (inbox) penulis.

Tidak terkecuali turut ditempelkan gambar sajian kelupis dan kari daging serta kek raya (Ini semestinya tidak terdapat dalam SOP PKPB).

Justeru apa yang dapat dikongsikan di sini hanyalah rakaman lensa penulis ketika tinjauan pada pagi Hari Raya di Masjid Assabirin Kabong yang nyata sangat suram dan sayu serta berbeza sekali dengan suasana penuh sesak sebagaimana kebiasaan sambutan Aidilfitri di sini sebelum ini.

Tidak banyak yang penulis dapat perkatakan selain suasana masjid yang lengang pada jam 7 pagi dengan hanya ada seorang marbot atau siak masjid sedang menyapu lantai masjid ketika penulis tiba di situ.

Bermakna patuhan kepada SOP PKPB di sini jelas berada pada aras tertinggi dan tiada langsung unsur pelanggaran SOP PKPB berlaku.

Turut kelihatan kereta peronda polis bergerak memantau keadaan.

Tidak terkecuali pemantauan dilakukan di kawasan tanah perkuburan.