KOTA SAMARAHAN: Hasil pemeriksaan pihak polis ke atas dua individu yang membakar kotak di dalam bilik di Taman Desa Ilmu Selasa lalu membawa kepada penemuan seorang lelaki berusia 56 tahun yang merupakan suspek kes pecah rumah manakala seorang perempuan pula ialah warganegara Filipina.

Pemangku Ketua Polis Daerah Samarahan ASP Rafhan Kepli mengesahkan bahawa lelaki tersebut merupakan suspek yang terlibat dengan kes-kes pecah rumah yang berlaku di sekitar Kota Samarahan sebelum ini.

“Manakala suspek perempuan pula didapati telah tinggal melebihi tempoh masa di negara ini dan suspek disiasat di Bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, sehingga kini kes masih lagi dalam siasatan.

“Terdapat beberapa barang kes yang telah dirampas oleh pihak polis yang dipercayai merupakan barang hasil kegiatan pecah rumah yang dilakukan oleh suspek, ” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Malah katanya beberapa orang pengadu kes pecah rumah yang dilaporkan sebelum ini juga akan dipanggil untuk membuat pengecaman barang kes bagi membantu siasatan.

“Buat masa ini suspek ditangkap dan disabitkan dengan kes pecah kedai kecantikan yang berlaku di kawasan Desa Ilmu yang mana kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Berdasarkan kebakaran kecil yang berlaku dari bilik tersebut ia dilihat bertujuan untuk mengaburi pihak polis daripada ditangkap,” jelasnya lagi.

Terdahulu kedua-dua suspek dikatakan telah membakar kotak di dalam bilik berkenaan berdekatan pintu dan mengunci pintu dari dalam, setelah berjaya dipujuk oleh pasukan bomba dan polis kedua-duanya telah membuka pintu.

Difahamkan selepas mengalami kebakaran kecil tersebut suspek lelaki telah dibawa oleh pasukan APM ke Pusat Jantung Sarawak manakala perempuan warganegara Filipina dibawa ke Balai Balai Polis Samarahan untuk siasatan lanjut.