KUCHING: Selepas Aidilfitri, kini tiba giliran kaum Dayak di bandar raya ini yang tidak pulang ke kampung atau rumah panjang kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mereka tetap sibuk membuat kuih-muih bagi meraikan perayaan Gawai yang akan menjelang tiga hari lagi.

Antaranya, Angeng Angkahong, 58, berasal dari Kampung Melanjok di Simunjan kini sedang sibuk membuat kuih tradisi dan kuih moden seperti kuih sepit, penganan jala, bahulu, kuih cap, kuih lidah dan pelbagai lagi.

“Saya bersama-sama anak Mary Chin, 25, cucu Aliciana Kian Ann, 16 dan menantu Ana Sandra Sindir, 34, sepanjang hari membuat kuih tersebut dan sudah tiga hari berturutturut,” katanya di kediamannya di Stapok, Batu kawa, di sini.

Angeng berkata, pada awalnya mereka membuat kuih-muih itu untuk dihidangkan kepada keluarga sendiri, tetapi ramai rakannya yang juga akan menyambut perayaan itu di bandar raya ini tiba-tiba berminat menempah kuih tersebut.

Ini menyebabkannya perlu membuat semua kuih-muih terbabit sekitar 10 kilogram bagi menampung tempahan berkenaan.

Setakat ini sudah mengeluarkan modal sebanyak RM200 bagi membeli ramuan.

“Selain membantu rakan lain membuat persiapan kuih-muih Gawai Dayak, saya juga mahu menurunkan kemahiran membuat kuih tradisi perayaan Dayak seperti penganan jala kepada anak, cucu dan menantu supaya tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini kemahirannya dipelajari daripada ibunya mendiang Christina Bell Manja.

Manakala ibunya telah mewarisi kemahiran itu daripada mendiang nenek mereka, Sebah Jebi.