SERIAN: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) pada bila-bila masa, kata Setiausaha Agungnya Datuk Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, ini kerana pilihan raya akan tetap diadakan walaupun berhadapan krisis Covid-19. “Kita tahu bahawa kita mesti mengadakan pilihan raya tidak lama lagi kerana berdasarkan undang-undang, ia harus dilaksanakan (sebelum penggal pilihan raya berakhir) dalam satu tahun lagi.

“Daripada apa yang saya tahu, semua komponen GPS sudah bersedia dengan cara masing-masing dan dalam GPS, pemimpin-pemimpin parti memang selalu membuat strategi,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan GPS menghadapi PRN yang dijangka tidak lama lagi, pada sidang media sempena tinjauan mesra di Pasar Basah Serian di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu berkata, walaupun sebagai Setiausaha Agung GPS, beliau tidak tahu mengenai calon setiap parti komponen.

“Presiden setiap parti komponen, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama-sama pemimpin-pemimpin kanan akan berbincang dan mempertimbangkan mengenai perkara ini.

“Tetapi saya rasa, kami belum sampai ke tahap ini lagi sekarang,” katanya. Parti komponen GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). PRN-12 Sarawak dijangka diadakan tahun ini, sebelum tempoh Dun Sarawak matang pada Jun 2021