SARIKEI: Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan sebanyak RM92,000 kepada sebanyak 50 Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Rumah Panjang di kawasan DUN N.42 Semop sempena Gawai Dayak.

Sumbangan disampaikan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol dalam perjumpaan ringkas bersama tuai rumah di enam lokasi dalam kawasan N42 Semop, hari ini.

Penempatan masyarakat Iban N42 Semop yang terletak di bawah pentadbiran Daerah Daro, Tanjung Manis dan Meradong ialah di Bekakong, Kelai, Teluk Gelam, Berangan, Mupong, Semareng, Selidap, Sungai Sian dan Muara Bunut.

Abdullah yang juga ADUN N.42 Semop berkata, sumbangan kepada JKKK setiap rumah panjang itu adalah untuk menampung sedikit pembelanjaan masyarakat rumah panjang yang ingin mengadakan majlis kecil bersama keluarga mereka.

“Kita semua tahu perayaan Gawai Raya kita tahun ini tidak semeriah dengan pelbagai majlis seperti tahun-tahun lepas.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat mengadakan majlis kecil bersama keluarga, saudara-mara atau sahabat handai dalam satu rumah panjang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengadakan lawatan kerja selama dua hari bermula 29 hingga 30 Mei sambil singgah secara ringkas di beberapa lokasi yang ditetapkan untuk berjumpa dengan beberapa tuai rumah panjang dalam kawasan DUN N42 Semop bagi menyampaikan sumbangan peruntukan kepada semua 50 JKKK rumah panjang berkenaan.

Bagi mempastikan aturan semasa PKP dipatuhi, setiap perjumpaan hanya melibat kumpulan kecil termasuk tuai rumah dan seorang wakil dari setiap rumah panjang.

Pada masa yang sama, langkah keselamatan seperti menjaga jarak, pengunaan pelitup muka dan sanitizer dipraktikkan sepanjang perjumpaan tersebut.

Beliau berkata, sebahagian besar kaum Iban rumah panjang khususnya kawasan N42 Semop sedar tentang bahaya wabak virus Covid-19 dan mereka sangat patuh kepada aturan serta amalan penjagaan kesihatan yang disyorkan.

Malah katanya, ada penduduk meletak papan tanda besar di laluan masuk bagi menyekat kemasukan orang luar dan penduduk mereka sendiri yang tinggal di bandar untuk pulang ke rumah panjang ketika PKP dikuatkuasakan.

“Kalau diamati betul- betul, rasanya belum ada lagi kes positif dilaporkan di mana-mana rumah panjang di Sarawak. Malah sehingga kini, kawasan Kapit misalnya masih mengekalkan status hijau mereka sejak PKP dikuatkuasakan. Ini membuktikan bahawa masyarakat di kawasan rumah panjang sentiasa mematuhi peraturan PKP.

“Dalam pada itu, saya ingin merakamkan perhargaan kepada mereka yang bersama-sama berjuang dan berkorban demi memastikan virus Covid 19 tidak menular ke kawasan pedalaman dan luar bandar,” katanya.