KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menyifatkan kes positif Covid19 yang melibatkan seorang pelajar dari Bintulu baru-baru ini, merupakan antara kes luar biasa yang pernah berlaku setakat ini.

Melalui satu hantaran di Facebooknya pada Isnin, Kui Hian mendedahkan, bahawa pelajar terbabit pernah dikuarantin selama dua bulan di Kuala Lumpur dan menjalani empat ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) dan memperoleh keputusan negatif.

“Pelajar ini juga pernah menjalani proses kuarantin selama dua minggu di rumah setelah tiba di Sarawak dan telah menjalani ujian PCR, keputusannya juga negatif. “Bagaimanapun, dia telah diuji positif pada dua minggu akhir ketika menjalani kuarantin di rumah,” katanya lagi.

Mengenai kes di Tanjong Manis, Kui Hian menjelaskan bahawa pelajar terbabit disahkan positif Covid-19 setelah ujian PCR yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) ketika proses menghantar pulang pelajar dari zon merah ke zon hijau.

Menurutnya, kedua-dua pelajar terbabit tidak menunjukkan sebarang gejala dijangkiti dalam setiap ujian saringan yang dilalui.

Oleh itu, beliau menegaskan, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKNS) tidak hanya melakukan penjejakan kontak pesakit yang positif malah turut memastikan kes yang aktif segera diputuskan.

Beliau berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama dalam usaha memerangi wabak Covid-19 yang melanda negara.