KUCHING: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani, 44, akan berpindah ke Pulau Pinang sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (IPK) Pulau Pinang dan Pemangku Penolong Pesuruhjaya Polis.

Sepanjang bertugas di Bumi Kenyalang, beliau mendapat kerjasama padu rakyat Sarawak yang banyak membantu memberikan maklumat untuk pelbagai kes siasatan.

“Semua pihak terutamanya Kerajaan Sarawak melalui semua Ahli Parlimen, Dun, tidak kira dari mana-mana parti politik, termasuk jabatan dan agensi kerajaan serta swasta sentiasa memberikan kerjasama yang terbaik,” ujar Supt Mustafa.

“Saya berasa gembira dan terharu kerana ini merupakan kemajuan bagi kerjaya saya.

Ia adalah hasil sokongan Polis Sarawak dan Ibu Pejabat Bukit Aman, termasuk pucuk pimpinan Polis Negara yang melihat mutu dan prestasi kerja-kerja kita.

Anak jati Sibu itu turut menzahirkan penghargaan dan bangga kerana Sarawak kini antara negeri terbaik serta komited dalam mengendalikan kes jenayah.

“Terima kasih kepada semua pucuk pimpinan PDRM di Sarawak, Persekutuan terutama Ketua Polis Negara dan Pengarah Polis Negara yang terus percaya dengan komitmen yang saya berikan selama ini,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Mustafa telah pun berkhidmat 24 tahun dalam dunia PDRM dan 12 tahun bertugas di Sarawak sebagai ASP Siasatan Khas (D9 CID), Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPK Sarawak.

Beliau kini meneruskan pengajian tahun akhir Sarjana Muda Undang-undang University of London External.

“Jawatan saya (JSJK) akan diambil alih oleh DSP Maria Rasid. Beliau akan dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak.

“DSP Maria Rasid merupakan antara pegawai wanita terbaik dan berpengalaman luas,” ujarnya.

Satu majlis serah tugas akan diadakan pada 5 Jun ini di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak untuk jawatan KJSJK tersebut dan Ketua Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (KJIPS) Sarawak.

Manakala untuk serah tugas di Pulau Pinang dijadualkan pada 10 Jun.