KUCHING: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan melakukan reformasi dalam kementerian itu termasuk menyingkirkan Ketua Setiausaha bagi memastikan ia mencapai matlamat yang dirangka.

Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pemulihan dalam kementerian berkenaan perlu dilakukan demi pembangunan usahawan yang terjejas ekoran pandemik Covid19.

“Sebagai menteri, saya memimpin demi kepentingan rakyat, bukannya dipimpin oleh orang lain. “Sebab itu, saya menyingkirkan Ketua Setiausaha terdahulu dan digantikan dengan Datuk Mohammad Mentek yang amat rajin bekerja,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Suara Sarawak baru-baru ini.

Menurut Wan Junaidi, di bawah kementeriannya, kerajaan mengagihkan RM200 juta yang disalurkan melalui Tekun Nasional untuk membantu usahawan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun, Tekun Nasional mempunyai 17 dokumen yang perlu diisi oleh usahawan dan saya anggap ia amat meremehkan. Kini ia dipendekkan… pengisian dokumen kini tinggal empat sahaja,” jelasnya.

Katanya lagi, sebanyak 13 dokumen dikeluarkan untuk memudahkan permohonan. “Saya juga merancang untuk meminda undang-undang permohonan di bawah Tekun Nasional apabila menyenaraihitamkan individu muflis mendapatkan bantuan terbabit.

“Ia merupakan kerenah birokrasi dan saya lihat ia tidak sesuai. Bagaimana individu yang muflis mampu membayar hutang jika tiada pinjaman atau sumber kewangan untuknya memulakan perniagaan? Tidak mungkin dengan menggunakan jalan tidak betul seperti mencuri atau merompak,” tegasnya.

Oleh itu, beliau akan membincangkan perkara ini dengan Menteri Undang-undang kerana jika diberi peluang berniaga atau kerja, mungkin individu muflis dapat membayar hutangnya.

Mengenai perusahaan kecil dan sederhana (SME) pula, Wan Junaidi memberitahu, sebanyak 85 peratus adalah perkhidmatan, sedikit dalam bidang pembinaan dan hanya 1.5 peratus menceburi pertanian.

“Kita masih kekurangan SME yang menceburi bidang pertanian sedangkan kita mengimport dengan nilai RM10 bilion setahun. “Malah, tanaman seperti cili dan halia pun diimport dari China, meskipun produk sedemikian mampu ditanam di Malaysia khususnya Sarawak.

“Sebab itu saya menyokong penuh agenda pertanian fertigasi yang diilhamkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam usaha mewujudkan petani yang bertali leher.

“Saya juga berusaha untuk mendapatkan kelulusan Parlimen dalam membangunkan belia yang menganggur agar mampu menjadi petani dan penternak moden, hanya menggunakan telefon pintar,” ujarnya lagi.

Katanya, jika di China, kawasan pesisir pantai dijadikan sebagai tempat menternak makanan laut yang mahal dan ia boleh dilakukan di Malaysia.