TINGGAL 15 bulan lagi untuk penggal dan mandat Kerajaan Sarawak yang ada kini tamat. Pada 7 September tahun hadapan, pilihan raya negeri perlu diadakan. Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sejak hujung tahun lalu melontar isyarat bahawa pilihan raya akan diadakan pada bila-bila masa.

Malah jentera pilihan raya parti tersebut sudah siap siaga untuk menghadapi ‘hari penting’ itu. Biarpun negara dihambat kemelut politik di peringkat Persekutuan, serta diancam masalah Covid-19 yang menyebabkan ekonomi negara dan negeri ini terjejas, ia tidak mengganggu persiapan parti ini.

Kerana itu, sejak beberapa hari lalu, pelbagai pihak dalam kalangan parti komponen GPS mula menyuarakan hasrat dan minat masing-masing. Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Seri Michael Manyin Jawong ketika ditemui wartawan di Serian menjelaskan pihaknya mahu mengembalikan kepercayaan masyarakat Bidayuh, dengan bertanding di semua lapan kawasan majoriti Bidayuh.

Ini termasuk di kawasan Dun Mambong, yang pada asalnya merupakan kerusi tradisi SUPP. Kerusi Dun Mambong kini disandang oleh Datuk Dr Jerip Susil, yang menang atas tiket calon langsung BN, sebelum kembali menyertai UPP, yang kemudian dijenama semula kepada Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Ketika PSB mengambil keputusan berkerat rotan dengan GPS, Dr Jerip mengambil keputusan untuk keluar parti, sebelum diterima sebagai ahli PBB. Ketika ini, satu-satunya kerusi Bidayuh yang berada di luar lingkungan GPS ialah Opar. Justeru Manyin menggesa penyandang kerusi tersebut, Datuk Ranum Mina untuk kembali kepada GPS dan meninggalkan PSB.

Jika ini tidak berlaku katanya, Ranum pasti akan ditentang dan GPS akan mencari calon berwibawa untuk merampas kerusi tersebut. Sementara itu, Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sebastian Ting turut menegaskan parti itu akan bertanding di seluruh 20 kerusi, yang merupakan milik tradisi parti tersebut.

Menurutnya, ini termasuk kerusi Mambong, serta kerusi-kerusi lain yang kini dimiliki oleh PSB seperti Opar, Engkilili, Dudong dan Bawang Assan. Yang pasti, berdasarkan kenyataan-kenyataan ini, tarikh pilihan raya sudah semakin dekat. Malah mungkin ia akan diadakan pada tahun ini, atau paling lewat suku pertama tahun hadapan.

Berdasarkan situasi semasa, Abang Johari sebenarnya berada dalam keadaan selesa untuk mengadakan pilihan raya awal. Ketika ini, daripada 82 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak, 47 dimiliki PBB, PRS 11, SUPP 7 dan PDP 3, menjadikan Kerajaan GPS memiliki sebanyak 68 kerusi.

Manakala kerusi tunggal PPBM dimiliki oleh Ali Biju, dikategorikan sebagai penyokong kerajaan. Di blok pembangkang pula, DAP mempunyai 6 kerusi manakala PSB 4 kerusi dan Bebas, 2 kerusi. Satu kerusi pula tidak diwakili setelah Adun Pujut hilang kelayakan.

Ketika DAP berhadapan dengan krisis kepercayaan, tumpuan kini terarah kepada PSB, yang sedang memperhalusi caloncalonnya di banyak kawasan, terutamanya di luar bandar. Berdasarkan sumber, PSB sedang merekrut ahliahli di seluruh negeri, dan mahu menempatkan calon di kesemua 82 kawasan.

Malah parti itu berhasrat menjadi alternatif kepada GPS, dengan menggunakan model Parti Warisan Sabah. Namun apa yang pasti, GPS dan Abang Johari tidak akan berpeluk tubuh. Seperti yang dikatakan oleh Abang Johari sebelum ini, parti itu bukan mempertaruh janji atau mimpi, tetapi mengetengah realiti sebagai modal politiknya.

Ini terbukti dengan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan, termasuk projek-projek jalan bertaraf mega, yang dikritik Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh. Sejak mengambil alih pentadbiran, Abang Johari jelas memimpin negeri ini dengan wawasan yang jelas dari segi ekonomi bentuk baharu dan ketegasan dalam mempertahankan hak Sarawak.

Malah kepintarannya mewujudkan pendapatan baharu kepada negeri ini, melalui cukai jualan minyak dan air diyakini memberi pendapatan besar.Justeru track record inilah yang menjadi pertaruhan beliau, bukannya janji dan harapan tidak pasti.

Kini, semua mata tertumpu kepada Abang Johari. Menunggu ilham beliau untuk tarikh penting tersebut.