KUCHING: Pelaburan Kerajaan Sarawak dalam bidang teknologi digital sejak tiga tahun lalu tidak menjadi sia-sia apabila kini di hadapan dalam bidang terbabit, terutamanya ketika dunia kini dilanda pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kepentingan teknologi digital semakin terserlah apabila pandemik membataskan pergerakan manusia.

“Apabila Covid-19 muncul, kita negeri pertama membangunkan aplikasi CovidTrace Sarawak untuk mengesan orang ramai kembali ke Sarawak kerana bimbang mencetuskan gelombang baharu wabak berkenaan.

“Sebab itu, kita menjejak mereka menggunakan kod QR yang membolehkan data dikumpul dalam usaha mengetahui sejarah perjalanan mereka, sekali gus membantu memutuskan rantaian pandemik terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan aplikasi kedua yang dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak menerusi SAINS dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) iaitu Qmunity di Wisma Bapa Malaysia kelmarin. Menurut Abang Johari, aplikasi Qmunity dikhaskan kepada komuniti perniagaan yang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila mengkehendaki para pelanggan menulis maklumat peribadi.

“Apabila para pelanggan masuk ke kedai, ada yang tidak mahu mendedahkan butiran peribadi seperti nombor telefon sedangkan ia adalah salah satu SOP. “Melalui aplikasi Qmunity, para pelanggan hanya mengimbas kod QR dan tiada siapa mengetahui nombor telefon pelanggan kecuali pangkalan data,” jelasnya.

Katanya, ketika menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur, beberapa pemimpin negeri lain ingin mengetahui kaedah Sarawak yang mewujudkan gelang tangan digital kepada rakyatnya ketika pulang ke negeri ini. “Saya berkongsi pengalaman kepada pemimpin negeri-negeri lain bagaimana kita bermula dan laksanakannya.

“Oleh itu, kita amat bertuah kerana beralih ke arah teknologi digital tiga tahun lalu malah ia semakin diterima baik oleh rakyat negeri ini,” ujarnya. Kata Abang Johari, perniagaan dalam talian melalui Sarawak Pay pula semakin digemari bukan sahaja di kawasan bandar tetapi luar bandar.

“Peniaga dari Samarahan dan Serian menggunakan media sosial dalam mempromosikan kuih-muih mereka serta menerima pembayaran melalui Sarawak Pay. “Justeru, Kerajaan Sarawak akan menambah lebih banyak kemudahan menara telekomunikasi agar capaian Internet semakin baik di luar bandar,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Dr James Jemut Masing, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Sim Kui Hian serta Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.